Peristiwa Nuzul Al-Quran mengingatkan kita bahawa Al-Quran merupakan cahaya petunjuk yang diturunkan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia serta akhirat. Marilah kita bersama-sama mengambil peluang di bulan Ramadan ini untuk lebih mendekati Al-Quran dengan membaca, memahami serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar.”
(Surah Al-Qadr: 1)
Semoga Al-Quran terus menjadi pedoman, penawar dan cahaya dalam kehidupan kita semua.
Ikhlas daripada
PTIS Kerian
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1447H
Seluruh warga PTIS Kerian ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1447H dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua umat Islam.
Semoga bulan yang penuh keberkatan ini menjadi medan untuk kita meningkatkan keimanan, memperbanyakkan amal ibadah, memperkukuh silaturahim serta membersihkan hati dan jiwa.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran,
Surah Al-Baqarah ayat 183:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Marilah kita manfaatkan Ramadhan ini dengan penuh kesabaran, keikhlasan dan istiqamah agar kita tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang bertakwa.
Ikhlas daripada,
PTIS Kerian
Teknologi Audio Visual
Teknologi Audio Visual (AV) adalah tunjang utama dalam pembinaan bilik darjah pintar. Ia mengubah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) daripada kaedah tradisional (sehala) kepada ekosistem digital yang interaktif dan inklusif.
Berikut adalah huraian terperinci mengenai transformasi ini beserta contoh aplikasinya:
1. Transformasi Interaksi dan Penglibatan Teknologi AV menukar peranan pelajar daripada pendengar pasif kepada peserta aktif.
Huraian: Penggunaan visualisasi membantu pelajar memahami konsep abstrak dengan lebih cepat berbanding teks sahaja.
Contoh: Guru menggunakan Papan Pintar (Smart Board) untuk menjalankan simulasi sains. Pelajar boleh "menyentuh" dan menggerakkan molekul di skrin secara digital, bukan sekadar melihat gambar pegun di buku teks.
2. Pengajaran Berpusat dan Kawalan Pintar Sistem kawalan AV memudahkan guru menguruskan pelbagai peranti tanpa gangguan teknikal yang lama.
Huraian: Melalui sistem seperti Q-NEX AV Control, guru boleh mengawal projektor, audio, dan pencahayaan hanya melalui satu panel sentuh atau aplikasi.
Contoh: Sebelum kelas bermula, guru menekan butang "Mode Belajar" yang secara automatik menurunkan skrin projektor, meredupkan lampu, dan menghidupkan sistem audio bilik darjah.
3. Aksesibiliti dan Pembelajaran Jarak Jauh Teknologi AV membolehkan pendidikan merentas sempadan fizikal.
Huraian: Dengan Kamera Persidangan (Conference Camera) dan mikrofon berkualiti tinggi, bilik darjah boleh dihubungkan dengan pakar atau pelajar dari lokasi lain secara masa nyata.
Contoh: Pelajar di luar bandar boleh mengikuti sesi pengajaran pakar dari bandar melalui penstriman langsung (live streaming) dengan kualiti audio dan video yang jelas seolah-olah pakar itu berada di dalam kelas.
4. Multimedia Sebagai Alat Pedagogi Efektif Integrasi teks, grafik, audio, video, dan animasi dalam satu platform.
Huraian: Penggunaan elemen multimedia meningkatkan daya ingatan dan kefahaman pelajar terhadap subjek yang sukar.
Contoh: Dalam subjek Sejarah, guru tidak hanya bercerita tentang kemerdekaan, tetapi menayangkan video arkib dengan kualiti audio yang telah dipertingkatkan, memberikan pengalaman emosi dan visual yang mendalam kepada pelajar.
MAJLIS
PELUNCURAN RANCANGAN PENDIDIKAN NEGARA 2026–2035
Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035
bertemakan “Memacu Lonjakan Pendidikan Negara” telah disempurnakan oleh YAB
Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, bertempat di Dewan Perdana,
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis berprestij ini turut dihadiri oleh Timbalan Perdana
Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Amar Haji Fadillah
Haji Yusof, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek serta Menteri Pendidikan
Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Turut hadir Timbalan Menteri
Pendidikan, YB Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli
Abdul Halim, pengurusan tertinggi kementerian, jabatan, agensi serta institusi
pendidikan awam.
Semasa ucapan, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan
beberapa perkara utama yang akan menjadi agenda utama KPM dibawah Rancangan
Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 iaitu:
- Matriks Pembelajaran Malaysia bagi mengukur pencapaian
murid tahun 4 dan tingkatan 3 secara berpusat.
- Kanak-kanak berusia enam tahun berpeluang masuk darjah
satu secara sukarela.
- Bahasa Melayu dan Sejarah wajib untuk semua warganegara
mengikut kurikulum kebangsaan.
- RM100 juta untuk naik taraf bilik guru
- Reformasi sekolah kebangsaan.
- Laluan TVET Sejak peringkat sekolah rendah – kurikulum
persekolahan 2027
Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 di bawah KPM
digubal sebagai intervensi strategik pasca-pandemik bagi memperkukuh daya tahan
sistem pendidikan dan melahirkan modal insan kompetitif di peringkat global.
Rancangan ini menumpukan kepada kemampanan, keluwesan, akses dan ekuiti, mutu
serta kecekapan.
Dengan tema “Merapatkan Jurang, Meningkatkan Mutu, Meraih
Kejayaan Bersama”, RPM 2026–2035 menjadi kompas strategik menangani isu
pembelajaran, kesejahteraan warga pendidikan dan cabaran teknologi termasuk AI.
Ia diterjemahkan melalui Tujuh Teras Strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi
merangkumi kurikulum, bakat murid, profesionalisme pendidik, prasarana, sinergi
pihak berkepentingan serta kecekapan tadbir urus.
Keseluruhannya, RPM 2026–2035 membentuk ekosistem
transformasi pendidikan menyeluruh bagi merapatkan jurang sedia ada,
melonjakkan mutu dan membina legasi pendidikan yang menjamin kesiapsiagaan
rakyat Malaysia menghadapi masa depan.
KENYATAAN
MEDIA
PEJABAT
MENTERI PENDIDIKAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
KPM MENJUNJUNG KASIH TITAH DIRAJA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjunjung kasih atas titah diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena pembukaan Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, yang turut menyentuh hal ehwal pendidikan negara.
Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi peringatan kepada seluruh warga KPM agar sentiasa berusaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara. Ini termasuk memastikan sebarang cadangan untuk mengadaptasi sistem pendidikan luar adalah selari dengan Dasar Pendidikan Negara serta menitikberatkan kepentingan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.
Dalam masa yang sama, KPM memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dan Kurikulum Baharu Prasekolah. RPM 2026–2035 merupakan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 yang telah tamat pada tahun lalu, dengan matlamat utama untuk meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia.
Seperti yang dititahkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, RPM 2026–2035 menekankan usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris serta menggalakkan penguasaan bahasa-bahasa lain sebagai nilai tambah kepada murid.
KPM memastikan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan sepenuhnya demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
TAMAT
KEMENTERIAN PENDIDIKAN
19 JANUARI 2026
KENYATAAN
MEDIA
PEJABAT
MENTERI PENDIDIKAN
Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik amanat Tahun Baharu oleh YAB Perdana
Menteri yang menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh hala tuju
negara melalui peningkatan kualiti pendidikan. Penekanan turut diberikan kepada
pengukuhan tadbir urus, integriti serta kecekapan perkhidmatan awam dengan
meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
YAB Perdana
Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turut menyentuh usaha berterusan Kerajaan
MADANI dalam memastikan akses pendidikan yang saksama kepada semua murid.
Antara langkah utama ialah mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan semula
sekolah daif di seluruh negara.
Bagi tujuan
penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan pendidikan, Kerajaan telah
memperuntukkan sebanyak RM200 juta kepada Sekolah Agama, RM80 juta kepada
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan
Tamil.
Selain itu,
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 bagi setiap murid diteruskan
dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM800 juta. Bermula tahun 2025, BAP
turut diperluaskan kepada semua pelajar Tingkatan Enam bagi membantu
meringankan beban persediaan persekolahan.
KPM juga
merakamkan penghargaan atas keprihatinan YAB Perdana Menteri dalam memperkukuh
bantuan kepada murid Orang Kurang Upaya (OKU) serta memperkasakan pendidikan
khas.
Kementerian
Pendidikan Malaysia komited untuk terus berusaha meningkatkan mutu pendidikan
negara demi masa depan dan kesejahteraan semua anak Malaysia.
TAMAT
Menteri
Pendidikan
5 Januari
2026.
KEWAJIPAN MENJAGA TATAKELAKUAN BAGI MEMELIHARA
NAMA BAIK PERKHIDMATAN AWAM
Selaras dengan prinsip tatakelola baik di bawah aspirasi Malaysia Madani yang menekankan rukun Keyakinan dan Hormat, pegawai awam wajib mempamerkan keperibadian yang luhur demi membina kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan.
Justeru, setiap pegawai awam hendaklah sentiasa menunjukkan
keperibadian unggul dan nilai moral yang tinggi sebagai komitmen Kerajaan dalam
memelihara amanah awam serta mendokong aspirasi Malaysia Madani. Oleh itu,
semua pegawai awam adalah diingatkan untuk mematuhi peraturan dan menjaga
tatakelakuan, sama ada semasa atau di luar waktu bertugas.
Peringatan ini dikeluarkan susulan peningkatan laporan salah
laku melibatkan pegawai awam yang tular sehingga boleh mencemarkan imej
Perkhidmatan Awam secara keseluruhan.
Berdasarkan peraturan yang sedang berkuat kuasa, semua
pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan
dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], antara lain, perenggan 4(2)(d), yang
menetapkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh berkelakuan dengan cara yang
boleh memburukkan atau mencemarkan nama Perkhidmatan Awam.
Oleh itu, Jabatan ini memandang serius terhadap sebarang
penglibatan pegawai awam dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Antara kesalahan berat yang perlu diberi perhatian serius termasuklah
melakukan:
i. Hubungan sulit atau khalwat: Sebarang bentuk perbuatan
berdua-duaan atau berada bersama antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram
di tempat tersorok atau tertutup sehingga menimbulkan syak serta berpotensi
membawa kepada perlakuan tidak bermoral.
ii. Gangguan seksual: Sebarang bentuk gangguan seksual, sama
ada secara lisan, isyarat, visual, psikologi, atau fizikal.
iii. Hubungan songsang sesama jenis: Penglibatan dalam
hubungan terlarang yang melibatkan homoseksual atau lesbian.
Penglibatan pegawai awam dalam salah laku di atas boleh
memberikan impak negatif yang besar kepada institusi Kerajaan kerana ia
berpotensi mengakibatkan:
i. Kepercayaan rakyat terhakis: Rakyat meletakkan harapan
tinggi kepada pegawai awam sebagai golongan yang berintegriti. Salah laku moral
peribadi pegawai akan dilihat sebagai kegagalan institusi Kerajaan dalam
menerapkan nilai murni.
ii. Persepsi negatif dan viral: Dalam era teknologi
maklumat, berita mengenai salah laku pegawai awam seperti tangkapan khalwat
atau salah laku seksual tersebar dengan pantas. Penularan pantas ini mengundang
cemuhan masyarakat yang melabelkan keseluruhan perkhidmatan awam sebagai tidak
bermoral ibarat “akibat nila setitik rosak susu sebelanga”.
iii. Hilang wibawa: Seseorang pegawai yang terpalit dengan
skandal moral hilang wibawa dan kredibiliti untuk memimpin, menguatkuasakan
undang-undang atau melayani masyarakat, sekaligus menjejaskan penyampaian
perkhidmatan.
Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana
pegawai yang didapati bersalah melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan di
perenggan 4(i), (ii) dan (iii).
Tindakan tatatertib yang tegas akan diambil, termasuk boleh
dihukum sehingga BUANG KERJA atau TURUN PANGKAT sekiranya sabit kesalahan.
Ketua Jabatan dinasihatkan agar memantau dan mengambil tindakan segera
sekiranya terdapat laporan atau aduan berkaitan dengan salah laku ini.
Kerjasama YBhg. Datuk Seri/Dato’ Seri/Dato’ Sri/Datuk/Datuk
Wira/Dato’/Tuan/Puan adalah dipohon untuk memanjangkan kandungan surat edaran
ini kepada semua warga kerja di bawah seliaan masing-masing.
Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menjalankan amanah,
TAN SRI WAN AHMAD DAHLAN BIN HAJI ABDUL AZIZ
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
Panduan
langkah-keselamatan siber
Berikut adalah kaedah asas yang sangat disarankan untuk semua pengguna:
1. Gunakan kata laluan yang kukuh dan unik untuk setiap akaun.
2. Aktifkan pengesahan dua-faktor (2FA) jika ada.
3. Kemas kini sistem operasi,aplikasi dan peranti secara berkala supaya tampalan (patch) keselamatan dapat dipasang.
4. Elakkan muat-turun aplikasi atau fail dari sumber tidak dipercayai.
5. Pastikan rangkaian WiFi (termasuk WiFi rumah) selamat: guna kata laluan yang kuat. Gabungkan huruf, nombor dan aksara yg lain.
6. Pasang perisian keselamatan (antivirus/anti-malware) dan aktifkan ciri keselamatan pada peranti.
7. Tingkatkan kesedaran: bijak mengenal e-mel atau mesej mencurigakan, jangan klik pautan atau lampiran yang tidak dikenali.
Aplikasi disyorkan untuk membantu keselamatan siber
Berikut beberapa
aplikasi bagus yang boleh dimuat turun sesuai untuk pengguna peribadi dan juga
organisasi kecil.
Lookout Mobile
Security: Aplikasi keselamatan mudah alih yang menumpu kepada ancaman seperti
phishing, pengambilalihan akaun dan malware.
Proton Pass: Pengurus
kata laluan yang kukuh, menyimpan & menyulitkan data login, pas-kata, dan
sebagainya.
Learn Cyber Security
& Online Security Systems: Aplikasi pendidikan yang sesuai untuk mula belajar
keselamatan siber sesuai untuk guru, pelajar atau pengguna umum.
Cadangan untuk penggunaan sekolah / guru-ICT
Pilih 1 atau 2
aplikasi ini sebagai “sasaran utama” untuk digunakan oleh guru & pelajar
dahulu — contohnya Cyber999 + Avast Mobile Security.
Adakan sesi
penerangan ringkas tentang setiap aplikasi: apa fungsi, bagaimana guna,
kelebihan & hadnya.
Pastikan peranti yang
digunakan (telefon, tablet) memenuhi syarat sistem aplikasi-aplikasi tersebut
(Android / iOS versi terkini).
Ingat: Aplikasi
sahaja bukan cukup perlu juga kelakuan pengguna yang selamat (contoh: jangan
klik link mencurigakan, jangan guna Wifi awam tanpa VPN, jangan guna kata
laluan sama untuk banyak akaun).
Sekiranya
sekolah mempunyai bajet, boleh pertimbangkan naik taraf ke versi ‘premium’
untuk mendapatkan sokongan penuh..